Stadium Shah Alam Baharu Lebih Moden Bertaraf Dunia

PENYOKONG Red Giants pasti teruja dengan perancangan untuk membangunkan semula kawasan Stadium Shah Alam dan kompleks di sekitarnya yang selama ini menjadi gelanggang keramat mereka berdepan mana-mana pasukan dalam kancah bola sepak Liga Malaysia.

Stadium Shah Alam versi baharu yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi dikatakan setaraf dengan Stadium Anfield malah mungkin mengatasi kehebatan gelanggang kelab ternama Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Ada juga yang menyamakannya dengan Stadium Tottenham Hotspur di London, satu lagi kelab gergasi EPL, terutama kerana menggunakan teknologi tercanggih dengan padang permainan mudah alih boleh diubah menjadi gelanggang pelbagai acara termasuk konsert serta kejohanan sukan lain selain bola sepak.

Padangnya akan menggunakan rumput paspalum yang dilaporkan banyak digunakan di beberapa stadium Piala Dunia di Qatar baru-baru ini. Rumput paspalum juga kerap digunakan di lapangan golf.

Stadium baharu yang akan dibina bermula tahun ini mempunyai kapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton dan menariknya ia dilengkapi dengan sistem penyejukan tempat duduk.

Menurut Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dengan keluasan 76.08 hektar itu akan mempunyai sebuah stadium bertaraf dunia.

Ia merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan kawasan projek pembangunan dengan selebihnya 40 peratus menempatkan ruang rekreasi awam dan ruang komersial bagi menyemarakkan interaksi dalam komuniti serta memberi peluang dari segi keusahawanan kepada golongan belia di negeri itu.

“Rekabentuk kompleks akan mengambil kira dan menyelesaikan masalah trafik serta menghubungkan pengangkutan awam,” menurut MBI dengan stesen LRT Stadium Shah Alam dijangka boleh disiapkan tahun depan sekali gus memudahkan kehadiran penonton sebagaimana di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kompleks dengan kos anggaran RM787 juta itu menggantikan kompleks sedia ada yang menyaksikan Stadium Shah Alam asal disiapkan pada Julai 1994 dengan kos RM480 juta.

Ia digunakan kebanyakannya bagi perlawanan bola sepak tetapi ada juga kemudahan untuk acara olahraga. Stadium itu adalah gelanggang rasmi Selangor sejak 16 Julai 1994 dan mempunyai kapasiti 80,372 penonton.

Walaupun ada beberapa kali percubaan untuk melakukan pengubahsuaian, stadium itu kini berada dalam keadaan teruk akibat pengabaian jangka panjang dalam penyelenggaraan.

Pada 2020, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan stadium usang itu mungkin dihalang daripada menganjurkan perlawanan Liga Super atas faktor keselamatan kerana bumbung polikarbonat dan padang stadium berada dalam keadaan daif.

Akhirnya pada 15 Julai 2022, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan kerajaan negeri melantik Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk membangunkan semula stadium itu dan kawasan sekitarnya dengan perbelanjaan dianggarkan RM787 juta.

Jika menjadi kenyataan, stadium utama akan turut memiliki papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan.

Stadium baharu itu juga dilengkapi kawalan kelembapan dalaman (indoor humidity control), ‘ETFE ceramic coating’ serta sistem penyejukan tempat duduk.

Tampil dengan rekaan inovatif, pembangunan semula Stadium Shah Alam turut memberi fokus kepada kelestarian dan zon aktiviti gaya hidup sihat.

Ini menerusi pembinaan taman permainan di sekitar stadium, kemudahan komuniti serta zon rekreasi hijau selain hab rekreasi dan komuniti lestari yang turut dilengkapi dengan ruang niaga dan ruang komersial.

Sebelum ia dibangunkan, MBI turut mendapatkan input dan pandangan penduduk setempat dengan mengadakan sesi libat urus awam di SACC Mall, Shah Alam bermula kelmarin hingga 10 Februari depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Menerusi sesi libat urus itu, MBI akan memberi maklumat tepat berkaitan cadangan projek pembangunan itu serta mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenai pelan cadangan yang dikemukakan.

Pengunjung boleh menilai dan berpeluang untuk memberikan maklum balas dan cadangan melalui kod imbasan QR.

INFO

  • stadium bertaraf dunia
  • kapasiti 35,000-45,000
  • papan skor elektronik
  • ruang legar mesra OKU
  • ruang korporat
  • bilik persalinan
  • kawalan kelembapan dalaman
  • mod acara seperti konsert
  • rekaan inovatif
  • zon aktiviti gaya hidup sihat
  • taman permainan
  • kemudahan komuniti
  • zon rekreasi hijau
  • hab rekreasi dan komuniti lestari
  • komuniti aktif dan keusahawanan
  • arena indoor dan ruang niaga
  • retractable pitch
  • hab bas
  • stesen LRT Stadium Shah Alam
  • hab sukan dan komuniti
Replika reka bentuk Stadium Shah Alam yang baharu yang dijangka siap pada 2026. - BERNAMA
Replika reka bentuk Stadium Shah Alam yang baharu yang dijangka siap pada 2026. – BERNAMA

 


 

Sumber berita: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2023/01/1057425/stadium-shah-alam-baharu-lebih-moden-bertaraf-dunia

Other Gallery