SHAH ALAM – Kerajaan Selangor menerima sumbangan sebanyak 660 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing bernilai RM5.05 juta untuk ibadah korban pada tahun ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan tersebut diperoleh daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), anak-anak syarikat kerajaan negeri dan pelbagai agensi lain.
Menurutnya, haiwan-haiwan tersebut kemudiannya akan diagihkan kepada kira-kira 400 buah masjid dan surau, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pusat-pusat khidmat masyarakat di seluruh Selangor untuk melaksanakan ibadah berkenaan.
“Sebuah masjid atau surau akan dapat lebih kurang seekor lembu dan empat hingga lima ekor kambing berbanding hanya seekor atau dua ekor lembu sebelum ini.
“Pusat khidmat masyarakat akan dapat dua ekor lembu dan 10 ekor kambing di mana sebelum ini mereka hanya dapat empat ekor lembu.
“Mungkin perkongsiannya lebih ramai, tapi kali ini kita tambah lebih ramai individu serta ia akan dilaksanakan sama ada dengan masjid dan surau atau mengikut penyelarasan oleh pusat khidmat masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perasmian Program Sumbangan Korban Negeri Selangor (PSKNS) tahun 2022 di Dewan Raja Muda Musa (DRMM) di sini pada Ahad.
Berita asal: https://m.sinarharian.com.my/mobile-article?articleid=260429